HALAMAN

Wednesday, 5 October 2011

Pelajar Gagal Boleh Ikuti Latihan Vokasional

Oleh ALI MAHMOOD
utusanktn@gmail.com


Garbar: ZAINUREEN Mohd. Noor (lima dari kanan) dan Zamiah Mohd. Ali (lima dari kiri) bersama pelajar cemerlang pada Hari Anugerah Kokurikulum Dan Kecemerlangan Pelajar Sekolah Menengah Vokasional Puteri Temerloh, baru-baru ini.

TEMERLOH 5 Okt. - Para pelajar sekolah yang gagal meneruskan pengajian akademik tidak perlu kecewa kerana kerajaan menyediakan latihan kemahiran dalam memenuhi sektor guna tenaga di negara ini.

Timbalan Pengarah Pengoperasian Sekolah Teknik dan Vokasional, Zainureen Mohd. Noor berkata, sekolah vokasional akan dinaik taraf menjadi kolej vokasional bagi memberi peluang kepada mereka mengikuti latihan tertentu.

Katanya, langkah itu bertujuan membolehkan kerajaan memberi lebih tumpuan kepada pendidikan kemahiran teknikal dan vokasional.


Menurutnya, pada masa depan permintaan terhadap pekerja berkemahiran dijangka meningkat dan lebih ramai tenaga mahir diperlu bagi memenuhi keperluan tersebut.

"Pendidikan vokasional dan teknikal penting bagi memenuhi keperluan dan permintaan sektor pekerjaan yang memerlukan lebih ramai tenaga kerja mahir pada masa depan," katanya.

Beliau berucap mewakili Pengarah Bahagian Pendidikan Teknik dan Vokasional (BPTV) merasmikan Hari Anugerah Kokurikulum Dan Kecemerlangan Pelajar Sekolah Menengah Vokasional (SMV) Puteri Temerloh di sini, baru-baru ini.

Pengetua Sekolah Menengah Vokasional Puteri Temerloh, Zamiah Mohd. Ali hadir sama pada majlis itu.

Menurutnya, apabila memasuki era negara maju, mereka yang memiliki sijil kemahiran akan mendapat tempat dan mudah mendapat kerja.

Jelasnya, di negara-negara maju seperti di Eropah, Amerika Syarikat, Jepun, Korea Selatan dan Taiwan lebih memberikan keutamaan dan penekanan terhadap pendidikan kemahiran vokasional.

Katanya, ibu bapa dan penjaga tidak lagi membuang masa dengan memaksa anak-anak mereka mengambil peperiksaan akademik sedangkan golongan itu lebih cenderung dalam kemahiran teknikal dan vokasional.

Sumber: Utusan

No comments: