Tuesday, 29 July 2014
Kolej Vokasional Puteri Temerloh Agih 1,000 Bungkus Bubur Lambuk
ZAMIAH Mohd Ali menyampaikan bungkusan bubur lambuk kepada seorang pengguna jalan raya Tol Temerloh, Pahang.
Kolej Vokasional Puteri Temerloh (ERT Puteri) turun padang mempromosikan kolej dengan cara menyumbang lebih 1,000 bungkus bubur lambuk kepada pengguna jalan raya di Tol Temerloh, Pahang baru-baru ini.
Pengarah Kolej Vokasional Puteri Temerloh, Zamiah Mohd Ali berkata, strategi serampang dua mata itu bukan sahaja dapat mengimarahkan bulan Ramadan tetapi turut memperkenalkan kolej kepada orang ramai.
Menurutnya, Kolej Vokasional Puteri dulunya dikenali Vokasional Puteri kini menawarkan dua kursus iaitu Seni Kulinari dan Fesyen dan Membuat Pakaian.
"Unit Bina Insan yang mencetuskan idea memasak bubur lambuk perdana untuk diagih-agihkan kepada orang ramai khususnya pengguna Lebuh Raya Pantai Timur untuk kembali ke rumah masing-masing.
"Setiap bungkus bubur lambuk itu disertai dengan maklumat kolej dan kursus yang disediakan untuk lepasan sekolah menengah mengikut kursus di sini sehingga ke peringakat diploma," katanya kepada Utusan Malaysia selepas mengagih-agihkan bubur lambuk tersebut.
Ketika ini seramai 187 pelajar mengikuti dua kursus yang ditawarkan di kolej ini termasuk 24 pelajar lelaki yang mengikuti kursus pilihan sendiri.
Mengenai program bubur lambuk perdana itu, Zamiah kagum dengan kerjasama warga kolej yang bergotong-royong sejak awal pagi menyediakan bahan dan memasak secara bersama-sama.
Katanya, pihak pentadbiran kolej telah bersetuju supaya program memasak bubur lambuk perdana dijadikan program tahunan bagi mengeratkan sialturahim sesama sendiri dan masyarakat luar.
Sumber: Utusan [28/07/2014]
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment