Timba pengalaman berharga
Guru dan pelajar dari Kolej Teknikal Vokasional Langu Satun dari Selatan Thailand mencuba membuat kek cawan semasa melawat ke Sekolah Menengah Vokasional Puteri, Temerloh.
TEMERLOH 5 Nov. - Seramai 21 guru dan pelajar dari Kolej Teknikal Satun (STC) dan Kolej Teknikal Vokasional Langu Satun (LVTCS) dari Selatan Thailand mengadakan lawatan sambil belajar ke Sekolah Menengah (SM) Vokasional (SMV) Puteri, di sini baru-baru ini.
Lawatan itu yang diketuai oleh Pengetua STC, Panom Sudma bertujuan menjayakan memorandum persefahaman (MoU) antara kolej itu dengan SMV Puteri.
Pengetua SMV Puteri, Zamiah Mohd. Ali berkata, program itu merupakan lawatan balas sekolahnya ke kolej berkenaan pada 4 Jun tahun lalu dengan disertai 20 pelajar dan lapan guru selain disertai 23 pelajar dan guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Tualang serta SMK Sentosa.
''Lawatan kami ke sana pada tahun lalu bertujuan mempelajari dan bertukar pandangan mengenai pembelajaran teknikal serta vokasional antara kedua-dua negara.
''Langkah itu adalah sebahagian usaha ke arah menambah nilai konsep pembelajaran SMV yang akan dinaik taraf menjadi kolej tidak lama lagi. Banyak pengalaman baru boleh diadaptasi daripada sistem pendidik di sana serta diolah semula dan disesuaikan dengan pembelajaran di sini," katanya kepada Utusan Malaysia di sini.
Menurutnya, antara pengalaman yang diperoleh iaitu bagaimana produk yang dihasilkan oleh para pelajar daripada bengkel STC dapat dipasarkan terus ke pasar raya dan pasar mini yang terdapat di persekitaran Satun.
Sehubungan itu jelasnya, konsep itu dapat dipraktikkan di SMV Puteri kerana kesemua hasil produk makanan seperti kek cawan, coklat dan sebagainya mencapai taraf serta kualiti penyediaan makanan sama seperti di hotel.
"Selain itu, makanan yang dihasilkan oleh pelajar sekolah ini turut mengambil kira faktor kesihatan dan amalan pemakanan sihat seperti disyorkan oleh pihak penguasa kesihatan.
''Kita berharap apabila SMV Puteri menjadi kolej nanti, kami mampu mencapai objektif bagi melahirkan ramai usahawan muda yang mampu bersaing dalam katering dan mengeluarkan produk makanan yang dapat diterima oleh masyarakat," katanya.
Jelasnya, sebelum ini, sekolah tersebut melahirkan beberapa usahawan muda antaranya Chef Asmah yang berjaya dalam katering di Puchong, Selangor dan Farhati Mohamad yang berjaya dalam perniagaan salon bergerak di Kuantan.
Dalam pada itu, Guru LVTCS, Lukman Abd. Hamid, 29, gembira kerana menyertai rombongan itu dengan melawat ke sekolah tersebut dan tempat menarik yang ada di sekitar daerah ini.
Beliau yang berasal dari Yakrang, Pattani berkata, terdapat banyak perbezaan pengajian dan kokurikulum vokasional di Thailand dengan sekolah vokasional di sini kerana kolejnya menggunakan 70 peratus akademik dan baki adalah dalam bidang teknikal.
''Saya perhatikan lebih banyak kokurikulum teknikal dan praktikal dipelajari di sekolah ini dan menganggap ia sesuatu yang baik serta boleh dipelajari kerana konsep tersebut melahirkan pelajar dalam menguasai kemahiran lebih cepat," katanya yang fasih bertutur bahasa Melayu.
Bagi Guru Bahasa STC, Noureeyah Man, 25, lawatan itu sangat berfaedah kerana banyak memberikan idea baru yang boleh dibawa ke negaranya.
''Pertukaran maklumat seperti ini memberikan banyak pengetahuan baru yang boleh diterapkan kepada para pelajar supaya dapat meningkatkan lagi tahap kemahiran mereka.
''Lawatan sambil belajar seperti ini perlu diteruskan dari semasa ke semasa demi kebaikan bersama supaya tidak terlalu terikat dengan sesuatu konsep tetapi sebaliknya akan menjadikan pelajar lebih kreatif menerusi pertukaran idea baru," ujarnya.
Bagi pelajar STC, Aornee Jaafar, 20, yang mengambil pengajian Diploma Tinggi Perakaunan berkata, pelajar di sini lebih banyak terdedah kepada praktikal dan secara tidak langsung akan menjadikan mereka lebih cepat menguasai kemahiran.
Oleh ALI MAHMOOD
utusanktn@gmail.com
Sumber: Utusan
Lawatan ke Satun wujudkan idea baru
TEMERLOH 5 Nov. - Lawatan sambil belajar oleh beberapa guru dan sekolah menengah termasuk Sekolah Vokasional (SMV) Puteri di sini ke selatan Thailand tahun lalu berjaya mewujudkan beberapa idea baru bagi memantapkan lagi kemahiran guru dan pelajar di negeri ini.
Ketua Sektor Pembangunan Akademik, Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) Pahang, Jailani Ludin berkata, bersesuaian dengan peningkatan taraf sekolah vokasional menjadi kolej vokasional nanti, ia memerlukan para guru mengutarakan pandangan yang bernas dan komprehensif.
Menurutnya, lawatan seperti itu memberikan guru lebih tumpuan kepada pendidikan kemahiran teknikal dan vokasional dengan membuat perbandingan di negara jiran.
Tambahnya, penambahbaikan tersebut perlu memandangkan permintaan terhadap pekerja berkemahiran dijangka meningkat dan lebih ramai tenaga mahir diperlukan bagi memenuhi keperluan industri.
"Pendidikan vokasional dan teknikal penting bagi memenuhi keperluan dan permintaan sektor pekerjaan yang memerlukan lebih ramai tenaga kerja mahir pada masa depan," katanya.
Beliau berkata demikian semasa meraikan lawatan 21 guru dan pelajar dari STC dan LVTCS ke SMV Puteri, di sini baru-baru ini.
Pengetua SMV Puteri, Zamiah Mohd. Ali turut hadir pada majlis itu.
Menurut Jailani, apabila memasuki era negara maju, mereka yang memiliki sijil kemahiran akan mendapat tempat dan mudah memperoleh pekerjaan.
Jelasnya, negara-negara maju seperti di benua Eropah, Amerika Syarikat (AS) dan Jepun lebih memberikan keutamaan terhadap pendidikan kemahiran vokasional.
Katanya, ibu bapa dan penjaga tidak perlu membuang masa dengan memaksa anak-anak mereka mengambil peperiksaan akademik sedangkan golongan itu lebih cenderung dalam kemahiran teknikal serta vokasional.
Sumber: Utusan
No comments:
Post a Comment